Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Ulama besar Bahrain Ayatullah Syaikh Isa Qasim kesal dengan prestasi buruk Bahrain yang mencetuskan kemarahan rakyat. Kata beliau, "Badai yang melanda tidak tenang dengan mudah. Apabila hak tidak diberikan kepada rakyat, maka kebangkitan akan berlipat ganda kelak".
Beliau menyatakan beberapa tuntutan rakyat dan berkata:"Kerajaan hendaklah bertindak berasaskan undang-undang, membebaskan tahanan yang tidak bersalah, membebaskan diri dari tuduhan yang membawa kesan negatif dan bertindak mengikut akal. Jikalau kerajaan berlengah, nescaya mereka akan menerima kemusnahan yang parah".
Isa Qasim turut mengungkit maksiat yang berleluasa di Bahrain dan menegaskan, "Andainya maksiat tidak dicegah, suatu hari nanti aspek kekufuran akan melebihi dari nilai-nilai Islam. Malangnya hingga ke hari ini, negara telah menerima maksiat termasuklah para penyanyi dan penari sehingga mereka diberi hak warganegara dan kad pengenalan. Perkara ini tidak dapat diterima.
"Sayang sekali, slogan berbagai budaya diwartakan. Suatu hari nanti kita bakal menyaksikan cahaya Islam semakin pudar di negara ini. Kemasukan individu yang buruk akhlaknya di Bahrain dengan berbagai fesyen pakaian atas berbagai alasan merupakan konspirasi budaya yang besar. Bediam diri dan sikap tidak peduli terhadap budaya yang huru hara ini seakan-akan membuka jalan buat pengaruh ini untuk berleluasa. Hanya kebangkitan Islam sahaja yang boleh mematahkan konspirasi fitnah ini".
Beliau selaku anggota Syura Tertinggi Majma' Ahlul Bait menerangkan, "Kita hendaklah bekerja sedaya upaya supaya ajaran agama dapat diterapkan dalam individu dan masyarakat. Kita mesti berjuang membersihkan kemungkaran yang memudaratkan Islam."
Kerajaan Bahrain ditentang oleh rakyatnya kerana korupsi, nepotisme serta memberikan kerakyatan terhadap warga luar. 3 hari demonstrasi di negara ini mencatatkan 3 kematian dan berpuluh yang lain cedera.
Lebih 70 peratus penduduk Bahrain bermazhab Syiah sementara kerajaannya diperintah oleh kerabat diraja Aali Khalifah yang bermazhab Sunni.